Monday 1 December 2008

MASA DEPAN PAS SABAH CERAH


TAWAU, 18 Nov (Hrkh) – Naib Presiden PAS, Haji Muhammad Sabu yakin dengan masa depan PAS di Sabah semakin cerah apabila ramai di kalangan para pemimpin parti itu di semua peringkat, ahli dan penyokongnya adalah terdiri dari kalangan penduduk tempatan Sabah sendiri.“Jika pada awal penubuhan PAS dahulu kebanyakan pemimpin parti dari kalangan orang Semenanjung, namun sekarang ini hasil daripada didikan dan bimbingan yang diberi, anak-anak tempatan sudah boleh memimpin dan membawa PAS ke hadapan.

Saya juga berasa bangga melihat kehadiran setiap program yang diadakan begitu ramai anak-anak muda tempatan yang berminat dengan PAS, Alhamdulillah ini adalah kejayaan kita,” demikian luahan beliau dalam satu kenyataannya di sini di Lapangan Terbang Tawau sebelum berlepas ke Kuala Lumpur selepas mengakhiri lawatan tiga hari di Sabah petang kelmarin.

Beliau bersama rombongan berada di Sabah sejak 15 November lalu dalam rangka lawatan kerja bagi melihat lebih dekat gerakerja parti dan penerimaan masyarakat Sabah terhadap PAS di negeri itu.

Lawatan kerja tiga hari itu dimulakan di Kota Kinabalu kemudian di Sandakan dan berakhir di sini. Sepanjang lawatan kerja itu, beliau melahirkan rasa puas hati dan gembira dengan sokongan msayarakat Sabah terutama dari kalangan generasi muda begitu menggalakkan terhadap program yang dianjurkan.

Dengan perkembangan baik itu, Muhammad menyarankan agar menggembleng tenaga muda ini sebaik mungkin kerana mereka amat berpotensi untuk menjadi pemimpin pada masa hadapan.
Katanya, golongan muda yang mempunyai kesedaran tinggi ini akan berani melakukan perubahan terhadap politik demi masa depan masyarakat berbilang kaum di negeri itu.
Mereka adalah penentu kepada kejayaan itu,

Kata Muhammad lagi, ini terbukti apabila nilai positif yang ada kepada rakyat Sabah ialah apabila berani melakukan perubahan politik seperti mana berlakunya beberapa perubahan kepimpinan negeri dari Usno kepada Berjaya, PBS sehinggalah sekarang ini Umno/BN.

Kita yakin perubahan ini boleh berlaku pada masa akan datang,” tambahnya.
Justeru ,untuk mencapai hasrat itu katanya, PAS harus bekerja keras dengan mengatur pelbagai aktiviti kemasyarakatan dan silaturrahim di kalangan rakyat.

Ketika ditanya berhubung penerimaan masyarakat bukan Islam terhadap PAS beliau berkata, "sekarang ini Alhamdulillah di Semenanjung mereka boleh menerima kita,walau bagaimanapun juga mainan media yang meburuk-burukkan PAS ada yang memberi kesan kepada mereka.

Saya yakin di Sabah juga serupa, mereka terpengaruh dengan media yang melaporkan berita berat sebelah dan tidak betul terhadap PAS,” katanya.
Menurutnya, ini adalah cabaran besar yang perlu dilalui bagi setiap penggerak jamaah dan parti untuk terus memberi penerangan dan penjelasan kepada mereka.

Saya yakin usaha keras dan sungguh-sungguh ini akan membuahkan hasilnya kelak,”katanya. Oleh sebab itu, beliau menyarankan agar PAS perlu mendekati juga kaum bukan Islam di negeri ini melalui pendekatan yang sesuai bagi mereka.
Katanya melalui pendekatan dan penjelasan yang tepat dan bekesan, masyarakat tersebut boleh manangkis maklumat-maklumat palsu seterusnya memahami perjuangan PAS. PAS mesti jadi juara membela masyarakat itu,” tambahnya.

Sementara itu, dalam satu ceramah, beliau berkata, kedudukan umat Islam sekarang berada pada tahap yang begitu lemah apabila mereka begitu mudah ditindas dan dizalimi oleh puak kuffar dan Yahudi ekoran tidak berpegang kepada ajaran Islam sebenar. Lebih-lebih lagi kata beliau apabila para pemimpinnnya tidak menjadikan Islam sebagai panduan dan rujukan dalam memerintah. Menurutnya, umat Islam hari ini jadi lemah kerana terpengaruh dengan ideologi penjajah yang menjajah negara mereka.

Maka timbullah istilah bila amal Islam, kita akan kembali ke zaman kemunduran. Inilah yang dipegang dan diamal oleh kebanyakan umat Islam hari ini yang telah berjaya dirosakkan pemikiran mereka oleh penjajah. Dasar-dasar yang dibawa oleh penjajah menjadi rujukan mereka sehingga ajaran Islam yang syumul ditinggalkan dan mereka telah lupa kebenaran dan kekuatan Islam dizaman keagungannya,”jelasnya.

Kata beliau lagi, penyakit sosial dalam masyarakat semakin parah dengan amalan rasuah, penyelewengan, kezaliman dan penindasan dijuarai oleh umat Islam sendiri.
Inilah akibat jika tinggalkan ajaran Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w.,” ujarnya.

No comments: