Monday 22 December 2008

MAT DITUDUH PUNCA KEKALAHAN PAS DI KERUSI P36 PADA PILIHANRAYA UMUM LALU


Sedih hati ini bila Mat Sabu dituduh sebagai punca kekalahan PAS di kerusi P36 Kuala Terengganu dalam PRU 12 lalu dengan alasan "Mat Sabu Calon Luar". Sebagai ahli PAS, saya merasakan tuduhan sebegini tidak sepatutnya berlaku dalam jamaah kita. Lupakah kita bahawa perjuangan yang dibawa oleh PAS adalah perjuangan Islam sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah dan RasulNya. Islam tidak pernah memandang apa warna kulit, bangsa atau dari mana asal negeri kita. Yang diambil kira ialah siapakah di kalangan kita yang beriman dan bertaqwa kepada Allah.

Sepatutnya ahli dan jentera PAS Terengganu tidak perlu mengeluarkan kenyataan sedemikian terhadap Naib Presiden PAS. Janganlah disebabkan kita terlalu ghairah untuk menang di Parlimen Kuala Terengganu sehingga kita lupa batasan dan adab kita kepada pimpinan utama. Kalau pun kita tak mahu calon daripada luar sekalipun, adakah kita perlu mengeluarkan kenyataan pedas sedemikian rupa. Bukankah kita ada Majlis Syura' dan AJK PAS Pusat yang akan menentukan siapakah yang paling layak untuk dicalonkan kali ini. Secara jujur saya nyatakan di sini bahawa sewaktu PAS memerintah Terengganu, saya kerap ke Terengganu dan Kelantan dengan 2 orang sahabat atas urusan tertentu.

Pernah sekali kami singgah di Kuala Terengganu sekembalinya dari Kota Bharu untuk minum dan makan keropok lekor di kedai seorang kenalan sahabat saya. Dalam pertemuan itu, kami berbual panjang berkisar tentang pemerintahan kerajaan baru PAS di Terengganu ketika itu. Pemilik kedai tersebut dalam lingkungan usia 50an dan merupakan orang kuat PAS Marang. Saya sebenarnya terkejut apabila dia menyatakan kebimbangannya bahawa PAS Terengganu akan kalah semula dalam PRU11. Saya sendiri bertanya kenapa dia berkata demikian. Lalu dia menceritakan segala-galanya kepada kami. Secara peribadi, saya membuat kesimpulan bahawa walaupun kita berada dalam jamaah Islam tetapi belum boleh menjamin bahawa kita tahan uji. Apatah lagi bila diuji oleh Allah dengan kuasa, pangkat dan jawatan.

Secara ringkasnya, apa yang dinyatakan oleh kenalan tadi menggambarkan bahawa sebahagian daripada Exco Kerajaan PAS Terengganu waktu itu lupa diri. Bila sampai waktu PRU 11 pada tahu 2004, apa yang dibimbangkan oleh kenalan tadi menjadi kenyataan. Memang kita tak nafikan bahawa memang berlaku penipuan undi yang ketara waktu itu sehingga PAS hilang semula Terengganu. Tapi kita kena ingat dan sedar segala apa pun yang berlaku adalah di dalam ketentuan Allah. Mengapa Allah biarkan penipuan ini berlaku sehingga kita hilang Terengganu. Semuanya ini ada rahsia tersirat yang sepatutnya kita semua ahli PAS di semua peringkat bermuhasabah diri. Hakikatnya, Allah tegur kita semua.Saya bimbang apabila berlaku isu "calon luar" ini akan mengundang kebencian Allah sekali lagi. Dan yang paling saya bimbang apabila Allah tidak mahu menurunkan pertolonganNya menjelang Pilihanraya Kecil 17 Jan ini. Kita jangan sekali-kali lupa bahawa Allah yang menguasai hati-hati para pengundi di Kuala Terengganu.

Diharap agar selepas ini jangan lagi timbul suara-suara yang menyebut pasal calon luar ke, calon dalam ke, calon atas ke atau calon bawah ke. Sebagai ahli sebuah jamaah Islam yang syumul, kita bukannya berjuang untuk Tuan Guru Nik Aziz atau Tuan Guru Haji Hadi atau sesiapa saja. Kita berjuang kerana Allah.Semuga Allah memaafkan segala keterlanjuran dan kesalahan kita semua dan memberikan kemenangan kepada PAS di Kuala Terengganu.Takbir !Jazakallah.

No comments: